Rabu, 11 Desember 2013

2. Al-Ikhlas

Kata Ustaz Hassan al-Banna rahimahullah:



أن يقصد الأخ المسلم بقوله وعمله وجهاده كله وجه الله , وابتغاء مرضاته وحسن مثوبته من غير نظر إلى مغنم أو مظهر أو جاه أو لقب أو تقدم أو تأخر , وبذلك يكون جندي فكرة وعقيدة , لا جندي غرض و منفعة



“Iaitu setiap al-akh muslim meniatkan dengan perkataannya, perbuatannya dan jihadnya seluruhnya hanya untuk Wajah Allah, mengharap keredhaanNya dan kebaikan ganjaranNya, tanpa melihat kepada harta atau kemasyhuran atau kedudukan atau pangkat atau kemajuan atau kemunduran. Dengan demikian itu, jadilah dia pejuang fikrah dan aqidah, bukan pejuang kepentingan dan manfaat (untuk diri sendiri).”

Berdasarkan penggunaan bahasa, kata ikhlas di dalam Al Quran disebut dengan pelbagai bentuk. Disebutkan dengan kata al-khalish, yang bererti ash-shafi (murni), yang tidak dikotori oleh noda dan pengaruh apa pun. Contohnya seperti yang disebutkan dalam firman Allah SWT.

“Ingatlah, hanya kepunyaan Allah-lah agama yang murni.” (Az-Zumar: 3)

Disebutkan juga dengan kata khalashu, yang bermakna i’tazalu (menyendiri), seperti dalam firman Allah SWT.:

“Maka apabila mereka berputus asa daripada mendapat pertolonganNya, merekapun mengasingkan (menyendiri) diri lalu berunding tentang hal itu dengan berbisik-bisik.” (Yusuf: 80)

Disebutkan juga dengan kata khalishah, yang bereri khashshah (khusus), seperti yang dirakamkan di dalam Al Quran:

“Sesungguhnya Kami telah mengkhususkan mereka dengan sebuah kehusususan yang berupa mengingatkan (manusia) kepada begeri akhirat.” (Shaf: 46)

Juga disebutkan di dalam Al Quran dengan kata mukhlisan, yang dijamakkan dengan kata mukhlisin, iaitu orang yang memurnikan kepatuhan kepada Allah SWT. tanpa mengotorinya dengan dosa (syirik). Firman Allah SWT.:

“Katakanlah, “Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (melaksanakan) agama.” (Az-Zumar: 11)


Juga dalam firman Allah SWT.:

“Katakanlah, “Hanya Allah sahaja yang aku sembah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agamaku.” (Az Zumar: 14)

Seterusnya di dalam Al Quran menyebut dengan kata mukhlasan (yang dipilih) yang dijamakkan dengan kata mukhlashin, Firman Allah SWT.:

“Sesungguhnya ia adalah seorang yang dipilih dan seorang rasul dan nabi.” Maryam:51)

Hakikatnya ikhlas adalah membebaskan diri dari selain Allah SWT. Dengan lain perkatan bagi seorang muslimin, ertinya adalah bahawa mereka berlepas diri dari apa yang didakwa oleh kaum Yahudi berkenaan dengan penyerupaan Allah SWT. dan dari apa yang didakwa oleh kaum Nasrani yang mengatakan tuhan berupa triniti.

Mari kita mengkaji beberapa ayat Al Quran lagi yang terdapat kata ikhlas didalamnya:

Pertama:

“Katakanlah: “Rabbku menyuruh berlaku adil (pada segala perkara), dan (menyuruh supaya kamu) hadapkan muka (dan hati) kamu (kepada Allah) Dengan betul pada tiap-tiap kali mengerjakan sembahyang, dan Beribadatlah dengan mengikhlaskan amal agama kamu kepada-NYA semata-mata; (kerana) sebagaimana Dia telah menjadikan kamu pada mulanya, (demikian pula) kamu akan kembali (kepada-NYA). (Al-A’raf:29)

Makna kata al-qisth adalah keistiqamahan dan keadilan.

Maksud dari firman Allah SWT. dalam ayat di atas adalah, Allah SWT. memerintahkan kita agar mengkhususkan ibadah hanya kepada-NYA di setiap waktu dan tempat, dan agar kita memurnikan kepatuhan itu hanya kepada-NYA demin mencari keredhaan Allah SWT. semata..

Ibadah kepada Allah SWT tidak akan dinilai benar kecuali jika sesuai dengan aturan yang dating dari sisi Allah melalui lidah Rasul-NYA serta harus benar-benar bersih dari sebarang syirik.



Kedua

Allah SWT berfirman:

“Dia lah Yang menjalankan kamu di darat dan di laut (dengan diberi kemudahan menggunakan berbagai jenis kenderaan); sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera, dan bahtera itu pula bergerak laju membawa penumpang-penumpangnya Dengan tiupan angin yang baik, dan mereka pun bersukacita dengannya; tiba-tiba datanglah kepadanya angin ribut Yang kencang, dan mereka pula didatangi ombak menimpa dari segala penjuru, serta mereka percaya bahawa mereka diliputi oleh bahaya; pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadanya semata-mata (sambil merayu dengan berkata): “Demi sesungguhnya! jika Engkau (Ya Allah) selamatkan kami dari bahaya ini, kami tetap menjadi orang-orang yang bersyukur”. (Yunus:22)

Ertinya mereka meminta dan menyeru kepada Allah SWT semata tanpa mempersekutukan-NYA. PAda saat iu mereka tidak menyeru dan meminta selain-NYA.



Ketiga

Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Quran ini kepadamu (Wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran; oleh itu hendaklah Engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala Ibadat dan bawaanmu kepadaNya. Ingatlah! (hak Yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala Ibadat dan ajaran yang suci bersih (dari segala rupa syirik).” (Az Zumar:2-3)

Maknanya, tugas asasi kita adalah memastikan setiap kepatuhan kita dalam melaksanakan agama dari segala bentuk syirik dan riya’ dengan hanya bertauhidkan kepada Allah SWT semata. Justeru seru dan ajaklah orang lain kepada tujuan tersebut dan khabarkan kepada mereka bahawa ibadah itu tidak boleh dan wajar diberikan kecuali hanya sanya kepada Allah SWT. dan menyakini bahawa Allah SWT tidak mempunyai tandingan mahupun sekutu. Allah SWT tidak menerima suatu amalan kecuali jika amalan itu diikhlaskan oleh pelakunya hanya kepada Allah SWT semata tanpa ada sesuatu pengantaraan dan sekutu dengan-NYA.

Qatadah berkata, maksud dari firman Allah SWT “Ingatlah bahawa hanya bagi Allah segala Ibadat dan ajaran yang suci bersih (dari segala rupa syirik)., adalahlah syahadat “lailaha illallah”.



Keempat

Allah SWT berfirman:

“Maka sembahlah kamu akan Allah dengan mengikhlaskan Ibadat kepadanya (dan menjauhi bawaan syirik), sekalipun orang-orang kafir tidak menyukai (amalan kamu yang demikian).” (Al Mukmin:14)

Maksudnya adalah memurnikan keikhlasan dalam ibadah dan doa hanya kepada Allah SWT semata dan menyelisihi kaum musyrikin berkenaan dengan langkah dan kefahaman mereka.



Kelima

Allah SWT berfirman:

“Dia lah Yang tetap hidup (kekal); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; maka sembahlah kamu akan Dia dengan mengikhlaskan amal ibadah kamu kepadanya semata-mata. Segala puji bagi Allah, Rabb yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Al-Mukmin: 65)

Ertinya Allah Maha Hidup kekal selamanya. Dia lah yang Pertama dan yang Terakhir, Yang Zahir dan yang Batin, Tidak ada sembahan yang berhak diibadahi kecuali Dia, dan tidak ada tandingan dan tidak ada sekutu bagi-NYA. Oleh kerana itu serulah Allah SWT dengan mengikhlaskan ibadah kita kepada-NYA, iaitu dengan mentauhidkan-NYA dan mengakui bahawa tidak ada sembahan yang berhak disembah dan diibadahi kecuali DIA. Segala puji bagi Allah, Rabb semesta alam.



Keenam

Allah SWT berfirman:

“Maka apabila mereka naik bahtera (lalu menemui sesuatu bahaya di laut), mereka memohon pertolongan kepada Allah dengan doa yang tulus ikhlas kepadaNya. kemudian setelah Allah menyelamatkan mereka (naik) ke darat, mereka berlaku syirik kepadaNya. (akibat syirik itu) mereka menjadi orang-orang yang kufurkan nikmat yang Kami telah berikan kepada mereka, dan (menjadi) orang-orang yang hanya dapat bersuka ria (dalam kekafiran) di dunia; kemudian mereka akan mengetahui kelak akibat buruk atas apa yang mereka lakukan.” (Al-‘Ankabut:65-66)

Para mufassir mengatakan:

“Yang dimaksudkan dengan firman Allah SWT. “..mereka memohon pertolongan kepada Allah dengan doa yang tulus ikhlas kepadaNya.” Adalah keadaan di mana mereka mengikhlaskan kepatuhan mereka kepada Allah SWT, di mana mereka tidak menyebut dan meminta kecuali kepada Allah SWT dan tidak menyeru sembahan lain. Akan tetapi ketika Allah SWT telah menyelamatkan mereka, tiba-tiba mereka kembali menyekutukan Allah SWT. Maknanya mereka kembali kepada kemusyrikan dan mengingkari nikmat yang telah Allah SWT berikan kepada mereka berupa nikmat iman, keselamatan dan bantuan dari Allah SWT. Sebaliknya kaum yang beriman yang mukhlis, mereka pasti mensyukuri nikmat Allah SWT dan mereka menjadikan keselamatan dan pertolongan dari Allah SWT sebagai jalan untuk semakin menambahkan ketaatan dan keimanan mereka kepada Allah SWT.



Ketujuh

Firman Allah SWT:

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Patutkah kamu (hai kaum Yahudi dan Nasrani) membuat bantahan terhadap Kami mengenai pilihan Allah dan pengurniaanNya ? padahal Dia lah Tuhan Kami dan Tuhan kamu. bagi Kami (faedah) amalan Kami dan bagi kamu pula (faedah) amalan kamu (kalau diikhlaskan), dan kepadaNYA Kami (mengerjakan amal dengan) mengikhlaskan diri.” (Al-Baqarah: 139)



Kelapan

Firman Allah swt:

“Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka. dan Engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka. Kecuali orang-orang yang bertaubat (dari perbuatan munafik itu) dan memperbaiki amalan mereka (yang salah), dan mereka pula berpegang teguh kepada (agama) Allah, serta mengerjakan agama mereka dengan ikhlas kerana Allah, maka mereka yang demikian itu ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman (di dalam Syurga); dan Allah akan memberikan orang-orang yang beriman itu pahala yang amat besar.” (An-Nisa’: 145-146)

Demikianlah ayat-ayat Al Quran yang menyebutkan berkenaan ikhlas yang akan membantu kita untuk memperjelaskan makna ikhlas dan memahaminya secara tepat. Ianya akan memberikan kefahaman keislaman secara benar mengenai ikhlas.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar